Allah merakamkan dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Pembaziran akan mencacatkan keberkatan bulan Ramadhan. Tidak kiralah sama ada pembaziran itu melibatkan makanan, duit, tenaga, amalan, atau pun kesihatan tubuh badan. Apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperolehi ganjaran pahala. Melatih diri agar tidak melakukan pembaziran dan melampaui batas merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam. Maka, Ramadhan merupakan saat yang terbaik untuk menanam tekad membasmi pembaziran bermula daripada diri sendiri dan keluarga, seterusnya istiqamah untuk bulan-bulan yang akan datang.