“ANGAN” mengisahkan seorang lelaki yang sanggup bekerja apa saja demi membeli kamera pertama untuk mengejar impiannya sebagai fotografer. Setelah penat lelahnya membuahkan hasil, tragedi berlaku kameranya dicuri, meruntuhkan semangat yang dibina. Dalam kecewa yang menyesakkan, dia kembali bersujud kepada Allah, mencari arah. Dari sujud itu, hadir rezeki tak disangka: tawaran menjadi jurufoto peribadi beserta kamera baharu. Perlahan-lahan, dia bangkit semula, membina langkah kecil yang akhirnya membawanya kepada kejayaan yang pernah hanya menjadi angan. Kerana akhirnya, keberhasilan bukan milik yang paling pintar, tetapi milik mereka yang tidak pernah berhenti berusaha.
“Ya Allah… kalau bukan rezeki hari ini, tunjuklah aku makna sabar.” Satu Langkah menceritakan seorang rider GrabFood yang semakin hilang harapan apabila order tidak ada. Ketika menunggu, dia ternampak seorang gelandangan menjual tisu di tepi jalan. Tersentuh melihat kesusahannya, dia memberikan duit terakhir yang masih tinggal. Tidak sampai lima minit selepas sedekah itu, order pertama masuk. Dan ketika menghantar pesanan, pelanggan itu menghadiahkannya wang yang lebih, rezeki yang langsung tidak dijangka. Saat itu dia sedar: ikhlas dalam sempit membuka pintu yang tak disangka. Rezeki bukan banyaknya angka, tetapi cukupnya rasa bila kita berhenti mengira.
NUHUD mengikuti kisah Alif, seorang pemuda yang ingin menjadi ahli muzik tetapi diuji dengan kecaman pensyarah dan ayahnya sendiri. Tertekan, Alif mencari ketenangan di taman, tempat dia mempersoalkan sama ada mimpinya patut diteruskan. Di situ, dia terserempak dengan seorang gadis bisu. Selepas menolongnya, gadis itu membuat isyarat “Nuhud”. Alif mencari maknanya dan tersentuh: seseorang dengan kekurangan masih bersemangat meneruskan hidup, sedang dia sendiri hampir berputus asa. Dari detik itu, Alif bangkit dan berlatih bersungguh-sungguh. Dua tahun kemudian, dia akhirnya berdiri di pentas tour muziknya sendiri.
Pak Leh, warga tua yang menghidap dementia, sering memanggil jirannya sebagai “Ahmad”, anaknya yang sudah tiada. Jiran itu Wan tetap setia menjaganya, walaupun mereka tiada hubungan darah. Apabila Bang Ijam mengetahui kisah sebenar, barulah jelas: Wan membesar tanpa ayah, dan selepas Ahmad meninggal, dia rasa Allah menggantikan kekosongan itu dengan Pak Leh. Tersentuh, Bang Ijam akhirnya turut membantu menyaksikan bahawa kasih sayang kadang-kadang tidak lahir daripada darah, tetapi daripada hati yang memilih untuk menjaga.
“Kompas Tenang” menceritakan tentang seorang lelaki mengikuti kompas di telefonnya tanpa tahu ke mana ia membawanya. Semakin dia bertanya pada orang, semakin bercanggah arah yang diberi hingga dia semakin hilang. Dia kemudian ditegur oleh seorang lelaki kedai: “Kenapa ikut semua orang? Kompas itu untuk diri kau, bukan mereka.” Tersentak dengan nasihat itu, dia kembali ke tempat asal. Saat azan masjid bergema, dia sedar arah yang sebenar itu bukan di luar sana tetapi jalan kembali kepada Allah.
“Kalau hati ikhlas, kebaikan itu akan sampai kepada yang memerlukan.” Dua beradik Cina bukan Muslim menemukan kotak biskut peninggalan ayah mereka, bersama pesan: buat baik tanpa mengharap balasan. Di dalamnya terdapat sampul bertulisan jawi yang membawa mereka ke Asrama Darussalam. Ketika mereka menyerahkan sampul itu, penjaga asrama berkata, “Sedekah daripada Encik Lim? Macam biasa?” Apabila diberitahu ayah mereka telah tiada, barulah terbongkar bahawa arwah selama ini menyedekahkan rezeki untuk sahabat Muslimnya yang sudah meninggal diam-diam, tanpa sesiapa tahu. Tersentuh dengan kebaikan yang tersembunyi itu, dua beradik tersebut meneruskan legasi ayah mereka untuk membantu anak yatim dan orang susah.
Seorang gelandangan menerima makanan bersama nota ayat al-Quran dari pemberi misteri. Suatu hari, dia terlihat wajah penyumbang itu seorang aktivis yang hanya tersenyum. Keesokan pagi, makanan itu hilang… dan di surat khabar, dia terbaca berita aktivis itu maut kemalangan. Terduduk, dia menggenggam nota-nota kecil itu dan melangkah ke masjid. Dua bulan kemudian, dia berubah kemas, beribadah, dan memberi makan kepada gelandangan lain, termasuk pencuri makanannya. Dia meneruskan kebaikan yang ditinggalkan seorang insan yang tak sempat dia ucapkan terima kasih.
“Dunia ni dah penuh kebencian… kalau bukan kita yang mula buat baik, siapa lagi?” Seorang gelandangan tua hidup mengutip kadbod untuk sekeping roti. Hari itu, dengan RM5 terakhir, dia membeli roti satu-satunya rezeki yang ada namun tetap menghulurkan roti itu kepada seorang perempuan gelandangan yang lebih lapar darinya. Ketika dia akhirnya pengsan di jalan, perempuan itu dan seorang lelaki asing datang menolong. Tahun berganti, hidupnya kembali stabil. Dia bertemu semula lelaki itu dan bertanya kenapa sudi membantu.